Masing-Masing nyanyian Ernie Zakri, Ade Govinda tercalon SCTV Music Awards Indonesia


Penyanyi terkenal Ernie Zakri kian menempa nama di Indonesia apabila menjadi penyanyi tempatan pertama tercalon pada acara anugerah berprestij sebuah stesen televisyen di sana iaitu SCTV Music Awards. Pada acara itu, Ernie Zakri turut tercalon dalam tiga kategori menerusi gandingannya bersama pemuzik terkenal, Ade Govinda dalam lagu Masing Masing.

Kategori itu terdiri daripada Kolaborasi Paling Ngetop, Video Klip Paling Ngetop dan Lagu Pop Paling Ngetop. Lebih membanggakan juga apabila lagu Masing Masing, lagu kolaborasi antara Universal Music Malaysia dan MyMusic Records yang digubah dan ditulis oleh Ade bersama Nabila V menduduki tangga teratas carta stesen radio di kedua-dua negara, iaitu GEN98.7 FM Jakarta di Indonesia serta Best FM dan Era FM di Malaysia. Terima kasih besar kepada stesen radio ini yang berjaya menangkap esensi menarik lagu Masing Masing ini.


Ernie yang juga pemenang Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2022 berkata, dia bersyukur dan bangga kerana lagu Masing Masing diterima baik peminat di Indonesia. "Saya sangat gembira kerana lagu saya sampai ke Indonesia. Sungguh menggembirakan melihatnya bergema dengan pendengar di sana. Terima kasih Indonesia, kerana menerima Masing-Masing dan menjadikannya melonjak di carta radio anda," katanya.

Bagi Ade Govinda, kolaborasi bersama Ernie satu pengalaman yang cukup manis dan hebat. "Saya juga mewakili MyMusic Records sangat gembira mendengar khabar lagu karya saya berjudul Masing Masing yang dinyanyikan indah oleh Ernie Zakri berjaya menduduki tempat pertama di kebanyakan carta radio Indonesia dan Malaysia.

"Semoga kolaborasi ini boleh membawa penyanyi lain juga untuk bekerjasama antara dua negara dengan hasil yang membanggakan juga. Terima kasih pendengar Indonesia dan Malaysia yang sudah menikmati lagu Masing Masing," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Kim Lim berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan padu kepada Ernie Zakri. "Universal Music Malaysia turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian dan pengiktirafan yang diperoleh melalui kerjasama ini dengan komposer terkenal Ade Govinda.

“Saya berasa gembira dan bangga kerana sekali lagi kolaborasi antara kemantapan vokal Ernie Zakri dengan sentuhan emas pencipta lagu terkenal Indonesia Ade Govinda membuahkan hasil yang memberangsangkan bukan sahaja di Malaysia tetapi merentasi sempadan dan sesuai dengan cita rasa pendengar yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.


"Karya muzik ini mendaki carta dengan pantas di kedua-dua negara dan berjaya menawan hati pendengar. Kejayaan ini membuka peluang baharu untuk artis Malaysia dalam pasaran nusantara dan membuktikan kepentingan kerjasama rentas negara dalam industri muzik yang sentiasa berkembang,"
katanya.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) Encik Rosmin Hashim berkata, pihaknya bangga atas pencapaian cemerlang Ernie di sana. "Kami amat berbangga kerana salah seorang artis Malaysia mencapai kejayaan cemerlang di Indonesia. Pencapaian terbaru ini membuktikan sekali lagi bahawa bakat Malaysia mempunyai apa yang diperlukan untuk menembusi pasaran muzik serantau dan global. "RIM akan meneruskan usahanya untuk memupuk kerjasama yang saling menguntungkan antara bakat Malaysia dan Indonesia. Tahniah diucapkan kepada Ernie, Ade Govinda dan Universal Music Malaysia atas kejayaan manis ini," katanya.

Lagu Masing Masing juga dipilih sebagai pembuka cerita kepada album perdana miliknya, yang juga single pertama memperkenalkan Aura.

Post a Comment

0 Comments