Universal Music
Greater China (UMGC), salah satu cawangan Universal Music Group (UMG), peneraju
global dalam hiburan berasaskan muzik, hari ini mengumumkan kerjasama strategik
baharu dengan Jay Chou, "Raja Mandopop" yang terkenal di peringkat
antarabangsa berserta syarikat rakamannya JVR Music. Perjanjian penting ini
menjamin hak pemasaran dan pengedaran global untuk katalog muzik Jay Chou yang
luas serta projek masa hadapan, selain menyokong bakat di bawah label JVR yang
semakin meningkat, termasuk Patrick Brasca dan Young (Cao Yang). Penyertaan
penyandang Jualan Album Global IFPI 2022, Jay Chou, ke dalam senarai artis UMG
menzahirkan komitmen syarikat untuk memartabatkan muzik Mandopop di pentas
antarabangsa.
Timothy Xu,
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Greater China (UMGC),
berkata, “Dengan rasa bangga dan teruja kami mengalu-alukan Jay Chou, ikon zaman
kini, ke dalam keluarga Universal Music. Kerjasama ini bukan sahaja satu pencapaian
penting bagi kami; malah ia juga meraikan bakat seni dan daya tarikan global Jay
yang luar biasa. Kami amat berbesar hati kerana diamanahkan dengan warisan
muziknya dan tidak sabar untuk menonjolkan bakat beliau yang luar biasa ke
seantero dunia"
Jay Chou, yang diberi
gelaran sebagai "Raja Mandopop", merupakan tokoh fenomenal di persada
muzik Mandarin sejak penampilan pertamanya pada tahun 2000 dengan
"JAY." Kerjayanya yang cemerlang merangkumi 15 album studio, setiap
satu menyumbang kepada legasinya. Karya Jay Chou pada tahun 2022, "Greatest
Works of Art”, menandakan detik bersejarah apabila menjadikan beliau bukan
sahaja artis Mandarin pertama yang berjaya menembusi senarai 10 teratas Carta
Artis Global IFPI, malah artis Mandarin pertama yang berjaya mengungguli Carta
Jualan Album Global.
Diasaskan pada
tahun 2007 oleh Jay Chou, Vincent Fang, dan JR Yang, JVR Music adalah sebuah
label dan agensi pengurusan artis yang berjaya dan amat disegani. JR Yang,
Ketua Pegawai Eksekutif JVR Music, berkata, “Penjajaran bersama UMG dalam kerjasama
strategik ini, menandakan lembaran baharu untuk Jay dan JVR ke arah visi kami
untuk memartabatkan muzik pop Mandarin di peringkat dunia. Dengan memanfaatkan
rangkaian global UMG yang luas membolehkan kami memperkasakan impak artistik
Jay dan kepelbagaian senarai artis kami pada skala global. Kami teruja untuk
memanfaatkan pakatan ini untuk melangkaui sempadan budaya serta mengukuhkan
kehadiran antarabangsa warisan muzik kami yang unik."
Adam Granite,
Naib Presiden Eksekutif, Pembangunan Pasaran Universal Music Group turut berkata,
“Kami mengalu-alukan Jay Chou dan JVR ke dalam Universal Music Group dan ini
adalah kejayaan strategik dan kemenangan dari sudut budaya. Kerjasama ini
mengukuhkan lagi komitmen kami untuk memupuk bakat yang pelbagai dan
memperkenalkan mereka kepada peminat dan pendengar muzik di seluruh dunia. Bakat
seni Jay yang luar biasa dan kehebatan kreatif JVR sejajar dengan misi kami
untuk memperkayakan landskap muzik global.”
Selain kerjayanya sebagai artis persembahan, Jay
Chou juga disanjungi sebagai penulis lagu. Beliau telah menggubah dan
menghasilkan semua lagunya, kebanyakannya dengan kerjasama penulis lirik tersohor
Vincent Fang. Sejak 2013, Universal Music Publishing Group (UMPG), anak
syarikat penerbitan terkemuka di bawah Universal Music Group, telah menjadi
penerbit global untuk Jay Chou dan JVR, serta menguruskan keseluruhan katalog
lagu mereka. Perjanjian strategik global yang diperluaskan bersama UMGC
menandakan era baharu peranan UMG sebagai rakan kongsi global holistik untuk
Jay Chou dan JVR.
0 Comments